Menurut Normaliza Abd
Rahim (2019), terdapat lima elemen asas grafik iaitu mudah, warna, teks,
kesesuaian dan keseimbangan.
a) Mudah
Sesebuah gambar yang dilihat itu mudah diketahui. Sebagai
contoh, gambar yang ada air laut dan pokok kelapa yang terdapat di dalam sebuah
foto, jelas memperlihatkan sebuah pemandangan di tepi laut. Hal ini
bermakna foto tersebut mempunyai asas grafik mudah kerana mesej yang terdapat
pada foto tersebut mudah difahami tanpa sebarang kekeliruan mahupun tanda tanya.
b) Warna
Grafik bagi sesuatu bentuk foto mahupun video mestilah
mengandungi warna yang tidak lebih daripada tiga warna. Walau bagaimanapun,
terdapat juga grafik yang lebih daripada tiga warna. Dalam hal ini, pemilihan warna
tersebut adalah bergantung kepada objektif serta mesej yang ingin disampaikan.
c) Teks
Jenis dan saiz font yang digunakan dalam grafik wajarlah bersesuaian
untuk dipersembahkan. Penggunaan teks dalam grafik adalah bertujuan untuk
memberikan kefahaman yang lebih terperinci. Warna yang digunakan pada font juga
mestilah kelihatan jelas kerana ia juga penting dalam asas grafik.
d) Kesesuaian
Grafik mestilah bersesuaian dengan latar tempat, latar masa dan
latar watak. Sebagai contoh, jika ingin mengambil foto berlatarkan laut, maka
kewujudan sebuah bot adalah sesuai jika ada. Hal ini bermakna setiap latar
sememangnya mempunyai kaitan antara satu sama lain.
e) Keseimbangan
Keseimbangan merujuk kepada ruang yang terdapat di dalam foto
serta video. Dalam konteks ini, ruang yang digunakan perlulah seimbang dan
tidak hanya berat pada satu bahagian semata-mata. Hal ini bermakna, ruang kiri,
kanan, atas dan bawah dalam sesuatu grafik mestilah diambil kira dalam usaha
menghasilkan sebuah grafik yang baik dan menarik.
Rujukan:
Normaliza Abd Rahim (2019), Multimedia dalam Bahasa. Selangor: Universiti Putra Malaysia.
No comments:
Post a Comment